(Gambar) Pierre Andre Sertai Jemaah Tabligh

Rupanya baru kami tahu yang Pierre Andre sudah lima bulan masuk tabligh. Ucapan Pierre Andre saat menerima trofi Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 menggegarkan banyak jiwa. Bermacam persoalan dan andaian juga dibuat. Paling utama, kecenderungan anak sulung pelakon handalan Khatijah Tan itu terhadap ilmu agama terbuka jelas.


"Ya, benar sekarang saya sedang dalam penghijrahan untuk lebih mengenal agama dan Allah dan Rasul tetapi hijrah saya ini tidak akan berlaku secara drastik, saya takut fitnah," katanya membuka cerita tentang kehidupan baharu yang sedang dilaluinya ketika ini.

Jumaat lalu, Pierre membuka mulut di pentas yang disaksikan lebih empat juta penonton dengan kalimah 'Bismillah.'

"Anugerah paling hebat ialah kalimah 'Lailahaillallah,' jagalah kalimah ini dalam diri kita, love Allah dan love Muhammad," ucap Pierre dalam majlis itu.


Menghuraikan lagi mesej sebenar yang ingin disampaikannya, kata Pierre:

"Itu juga satu dakwah daripada saya. Saya memang minta doa kepada Allah agar jalan dakwah saya dibuka, dan Alhamdulillah saya diberikan kesempatan. Selama 10 tahun dalam bidang seni, itulah kali pertama saya diberi anugerah dan itulah siaran langsung pertama yang saya dapat untuk menyuarakan sedikit dakwah saya," katanya sambil meneruskan dengan satu pengakuan.

Demi untuk tidak mengelirukan khalayak terhadap perubahan yang berlaku ke atas dirinya, Pierre mengakui bahawa sudah lima bulan dia bergerak aktif dengan dengan mengikuti kumpulan tabligh.

"Saya sudah jadi pengarah filem sejak umur 21 tahun. Selama ini saya fikir itulah matlamat hidup saya. Akhirnya saya dapati hidup saya 'kosong.' Saya rasa dibohongi oleh dunia dan saya mula mencari.

"Seorang sahabat ajak saya menyertai tabligh. Pertama kali mencuba, saya terus jatuh cinta. Setakat ini, sudah empat kali saya keluar mengikuti aktiviti jemaah tabligh. Biasanya kami keluar selama tiga hari dan bermalam di masjid dan surau yang kami singgah. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya," katanya menyertai jemaah tabligh di Taman Permata, Ulu Kelang.




sumber gambar: Instagram Pierre Andre

1 comment:

  1. apakala sampai hidayah daripada Allah swt. syukur alhamdulillah adalah 'magic word' dari lidah.

    wallahua'lam

    ReplyDelete