Kelantan vs Perak Live di Astro ARENA 801 | Perak intai benam Kelantan di gelanggang sendiri

credit : astroarena

KUALA LUMPUR, (D5) - Pertemuan dua pasukan kelompok atas Liga Super Selasa ini antara Perak menentang Kelantan di Stadium Perak dijangka akan menyajikan saingan sengit daripada kedua-dua pasukan.


Rekod tanpa kalah anak buah Norizan Bakar lebur pada hujung minggu lalu ekoran kekalahan 2-1 kepada Sabah di Stadium Likas, ia sekaligus merentap moral dan motivasi skuad Seladang tersebut.


Menanti kunjungan skuad Red Warriors bukan satu tugas muda buat Perak, menyedari hakikat tersebut Norizan pastinya mahukan aksi terbaik dan bertenaga daripada para pemainnya untuk mendapatkan hasil yang positif pada pertemuan tersebut.


"Ia satu misi yang sukar kerana Kelantan bukan sebuah pasukan yang mudah dijinakkan.


"Misi kami pastinya mengekang dan beraksi sebaik mungkin bagi mengekang kehebatan para pemain Kelantan nanti," ujar Norizan.


Namun harus diingat Perak boleh disifatkan sebagai kebal di laman sendiri termasuk gah memilki rekod pertahanan terbaik Liga Super dengan hanya dibolosi sebanyak lima kali sahaja setakat ini.


Namun bagi pengendali Perak, Norizan menyatakan rekod tidak memainkan peranan penting dalam misi untuk meraih tiga mata ke atas Kelantan.


Malah norizan percaya anak didiknya kini tekad kembali bangkit selepas kekecewaan tumpas kepada Sabah tempoh hari.


"Kekalahan lalu membakar semangat pemain untuk memperbaiki aksi semasa mereka. Kami bermain baik walaupun tewas kepada Sabah, tetapi menentang Kelantan esok pasti lebih istimewa buat kami di dalam memburu tiga mata penting," tambah Norizan lagi.


Berbeza dengan kelantan, The Red Warriors lebih digeruni kerana memiliki jentera serangan yang cukup berbisa.


Mana tidaknya, selepas mengharungi 10 perlawanan skuad kendalian Datuk M. Karathu itu sudah menjaringkan 24 gol.


Namun, Karathu mengharapkan agar anak didiknya beraksi lebih sebagai satu unit yang mantap dalam misi melebar jurang pendahulu di persada liga.


"Kami berada pada tahap terbaik sekarang, tetapi bagi saya jaminan untuk kemenangan lebih kepada aksi berpasukan," kata Karathu.


Sepanjang 4 pertemuan sejak 2009, Kelantan mempunyai kelebihan menang 3 perlawanan.


Kali terakhir dua pasukan ini bertemu ialah pada Jun 2010, Kelantan menang 2-0 ke atas Perak.


Siaran langsung perlawanan Perak menentang Kelantan akan disiarkan di Astro ARENA 801 pada malam ini bermula jam 8.30 malam.

No comments: