3 Maut balik kenduri kahwin




Mohon maaf sebelum ajal
GUA MUSANG: “Saya tidak sangka, dia (Allahyarham Hasmah Idrus, 28) bersama adiknya, sanggup menunggu kepulangan kami dua beranak daripada melawat sepupunya yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semata-mata untuk memohon maaf.


“Cuma ketika itu, tingkah laku dua beradik yang periang itu bertukar menjadi pendiam ketika bersalaman dan tidak sangka ia pertemuan terakhir,” kata Robiah Mat Daud, 50, ibu kepada Hasmah Idrus dan adiknya Siti Aminah, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya, awal pagi semalam.

Perjalanan Hasmah yang juga pegawai bank RHB Kuala Lumpur bersama adik dan sepupunya selepas selesai menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah keluarga mereka bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.



Kemalangan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu membabitkan sebuah Perodua Kelisa dinaiki empat sepupu terbabit dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda menyebabkan dua daripada sepupu itu meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi di Hospital Kuala Krai (HKK).

Hasmah dan seorang lagi sepupunya, Shaibah Che Danial, 24, meninggal dunia di tempat kejadian dan adiknya, Siti Aminah disahkan meninggal di HKK.


Adik Shaibah, Syaikhah, 23, yang cedera parah kemudian dihantar ke HKK untuk rawatan lanjut dan dua lagi yang turut cedera termasuk pemandu kenderaan pacuan empat roda bersama seorang penumpangnya berusia dalam 40-an, dirawat di hospital sama.







ANGKAT...jenazah seorang mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat. Syaikhah (gambar kecil) parah.

Kejadian itu berlaku ketika kereta dinaiki empat sepupu itu dalam perjalanan dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai ke Kuala Lumpur sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki pasangan suami isteri dari arah bertentangan.

Dua mangsa tercampak keluar dari kereta Perodua Kelisa yang berpusing di tengah jalan ketika kemalangan berlaku, manakala Hasmah yang juga pemandu kereta berkenaan tersepit di tempat duduk dan terpaksa mendapat bantuan anggota bomba untuk mengeluarkan mayatnya.




Robiah berkata, empat sepupu itu pulang ke kampung berkenaan enam hari lalu untuk menghadiri majlis kenduri menyambut menantu abang sulung Hasmah, Abdul Wahid, 30, pada Sabtu lalu di Kampung Pasir Era, Kuala Krai.

Katanya, semua sepupu terbabit bertolak lewat kira-kira jam 10 malam kelmarin untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana menunggu kepulangannya daripada melawat seorang anak saudara yang sakit di HUSM, Kubang Kerian bersama Abdul Wahid.


“Sebaik kami tiba di rumah, arwah terus bersalam dengan memohon maaf untuk pulang ke Kuala Lumpur dan tidak sangka kesungguhannya bersalaman menjadi detik terakhir saya bersama dua beradik berkenaan,” katanya.

sumber: myMetro

1 comment: